10 August 2011


Aku tertarik dengan satu ruang di Majalah Solusi yang bertajuk Warna dan Rona Cinta. Ditulis oleh Pahrol Mohd Juoi, beliau mengupas tentang cinta di alam perkahwinan. Aku suka bahagian ini :-

Jadi Orang Baik

Maksudnya, kita sendiri cuba sedaya upaya menjadi orang yang baik, insya-Allah kita akan dikurniakan orang yang baik sebagai pasangan hidup kita. Ini janji Allah. Menjadi orang yang baik perlu diutamakan berbanding "mencari" orang yang baik. Ia lebih mudah kerana menjadi orang baik bermula dengan diri sendiri.

Perlu diingat, janji mendapat pasangan yang baik bagi orang yang baik, bukan hanya berlaku pada awal perkahwinan. Mungkin pada awalnya pasangan orang yang baik itu belum begitu baik, namun berkat didikan, pergaulan dan doanya, maka pasangannya itu berubah menjadi baik selepas mereka berkahwin.

Jadi jangan putus asa sekiranya pada awal perkahwinan, kita lihat pasangan kita belum benar-benar baik seperti yang kita harapkan. Sebaliknya, teruskan usaha untuk menjadi orang yang baik sambil mendidik dan mendoakan pasangan kita itu. Ingat setelah berkahwin dengan kita, pasangan kita itu adalah cerminan akhlak dan keperibadian kita. Siapa mereka sebelum berkahwin dengan kita kurang penting berbanding siapa mereka setelah berkahwin dengan kita.

Justeru, tidak kira siapa dia sebelum berkahwin dengan kita, tetapi sebagai suami ataupun isteri, kita perlu komited untuk mengubah diri kita sendiri terlebih dahulu seiring usaha mengubah diri pasangan. Jika kita tidak dapat apa yang kita suka, kita perlu suka dengan apa yang kita dapat. Caranya adalah dengan mengubah diri kita terlebih dahulu, dan insya-Allah perubahan itu akan mengubah pasangan kita ke arah yang sama.

Salam Ramadhan semoga kita dapat mengubah diri kita sendiri menjadi orang yang lebih baik, insya-Allah :)

No comments: